Suatu Permulaan dan Percubaan Baru

Helo.

Kadangkala saya tergerak hati untuk menurunkan sedikit pendapat tentang dunia penulisan Bahasa Melayu. Ini biasanya terjadi apabila saya terbaca sesuatu pendapat yang diluahkan tidak kira di media sosial seperti Facebook ataupun media tradisional seperti surat khabar.

Biasanya pendapat ini diluahkan begini: “Maruah Bahasa Melayu kian tercabar…” atau “Bagaimanakah Bahasa Melayu dapat dimartabatkan jikalau orang Melayu sendiri tidak mahu menggunakannya…” Ada yang mengatakan bahawa penggunaan Bahasa Melayu semakin menderum dan seolah-olah bersujud kepada Bahasa Inggeris (bahasa musuh orang Melayu kononnya) kerana banyak meminjam kata-kata untuk dilokalisasikan.

Pada pendapat saya, polemik tentang Bahasa Melayu yang kononnya jarang digunapakai di negara ini adalah membuang masa dan tidak mendatangkan faedah apa pun. Walaupun ramai memperkatakan dan menghebohkan isu ini seolah-olah isu ini baru membangkit sejak kebelakangan ini, sebenarnya perkara ini telah lama dihangatkan buat beberapa darsawarsa sudah.

Saya anak kelahiran tahun 80-an. Saya mula berjinak dengan penulisan Bahasa Melayu dalam tahun-tahun 90-an. Pada waktu itupun sudah kedengaran desas-desus bahawa Bahasa Melayu akan terkubur. Dan saya pasti sebelum zaman saya lagi tentu ramai lagi yang telah menangisi kehebatan Bahasa Melayu yang semakin “tercabar”. Kalau tidak takkan tidak ada gerakan Keranda 152 dan seumpamanya.

Pada pendapat sayalah, ini semuanya adalah suatu non-issue. Ramai sahaja yang masih menggunapakai Bahasa Melayu. Ya, mungkin sesetengah pihak lebih gemar menggunakan bahasa pasar, ada pula yang menggunakan bahasa SMS (“aq” untuk “aku”, “x” untuk “tak”, dan sebagainya), tetapi sekurang-kurangnya Bahasa Melayu itu masih dipakai.

Jika ada yang tidak gemar perkara ini, bahasa seumpama ini dipakai, cuba renungkan… di mana sistem pendidikan negara salah? Tidak ada gunanya meraung tidak tentu hala di Facebook setiap minggu. Kita perlu bertindak untuk memastikan Bahasa Melayu yang elok sentiasa digunakan.

Saya hanya seorang, jadi saya akan bermula dengan blog ini. Blog ini adalah rekod penggunaan Bahasa Melayu dalam penulisan saya. Saya mengakui saya lebih fasih dalam Bahasa Inggeris (kerana saya lebih mempunyai buku berbahasa Inggeris sewaktu membesar) tetapi itu tidak bermakna saya akan ketepikan Bahasa Melayu.

Sebenarnya saya amat sayangkan Bahasa Melayu. Saya tidak setuju bahawa Bahasa Melayu ialah bahasa yang jumud atau ketinggalan. Ia sebuah bahasa yang amat indah dan oleh kerana saya berpendapat bahawa penguasaan Bahasa Melayu tidaklah cukup baik bagi seorang warganegara Malaysia, saya sentiasa cuba untuk meningkatkan kosa kata dan penguasaan bahasa ini.

Itulah sebabnya saya wujudkan blog ini. Disamping membantu saya memperbaiki penguasaan Bahasa Melayu saya, blog ini akan mencatatkan pendapat saya tentang isu-isu Bahasa Melayu yang sedang diperbincangkan pada sesuatu masa, mengkronikelkan apa-apa terbitan yang saya karyakan (di dalam Bahasa Melayu), dan mungkin juga mengkongsikan pengalaman susah-senang menulis dalam Bahasa Melayu.

Diharap pembaca sabar dan maklum.

Advertisements