Pengkritik Bukan Muslim Mahir Membaca Teks Melayu Islam: Apa Salahnya?

Makalah ini asalnya diterbitkan di dalam Dewan Sastera Mei 2017. Versi di blog ini adalah versi tidak disunting. Awas jika tidak tahan pedas.

~

18057146_10158452708750548_5206660845349769041_nDalam ruang reaksi yang bertajuk “Pengkritik Bukan Muslim: Tidak Sesuai Nilai Karya Melayu Islam?” di dalam Dewan Sastera Mac 2017, Ramli Abdul Halim telah mengangkat sebuah catatan Facebook oleh rakannya, Nawawee Mohammad, yang menyarankan bahawa “mana-mana pihak yang bertanggungjawab memilih dan menilai karya dan manuskrip sastera untuk diberi anugerah, hadiah mahupun penghargaan dan untuk diterbitkan sama sekali tidak patut melibatkan seseorang ahli panel bukan Islam, kerana seluas mana pun pengalaman berkarya, dan setinggi mana pun ilmu sastera seseorang penilai bukan Islam, selamanya tidak dapat mencapai tahap pemahaman untuk menghayati konsep khusus mengenai Islam.”

Ramli pula telah meringkaskan catatan Facebook itu dengan mengatakan bahawa “jika bukan Islam menilai manuskrip sayembara, sama ada manuskrip novel, cerpen mahupun sajak yang bertemakan Islam dan ditulis pula oleh karyawan Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, panel bukan Islam tidak mungkin dapat memberikan penilaian yang betul dan adil kerana mereka tidak cukup kenal Islam.”

Saya pasti ramai yang membaca makalah tersebut tentulah setuju dengan pendapat ini. Kata Ramli sendiri, “hujah dan pandangan Nawawee sebenarnya sangat logik.” Tetapi apabila diteliti dengan lebih mendalam, cadangan Nawawee dan Ramli untuk tidak melibatkan ahli panel yang bukan Islam di dalam apa-apa penganugerahan atau sayembara sastera Bahasa Melayu sebenarnya adalah sangat tidak munasabah dan menjadi sukar untuk mengenali apakah relevannya.

Pertama, dalam apa-apa penganugerahan tanahair yang mempunyai ahli panel yang bukan Islam (mungkin kita semua sedia maklum siapa sebenarnya yang sedang dikecam di sini), penganugerahan tersebut bukanlah sebuah penganugerahan yang hanya melibatkan sastera Islam sahaja. Panel penganugerahan tersebut dipertanggungjawabkan untuk menilai karya-karya sastera Bahasa Melayu umumnya dan bukan sastera Islam secara khusus, dan karya-karya yang dipertimbangkan boleh sahaja ditulis oleh penulis-penulis Islam mahupun juga yang bukan Islam.

Usulan membuang ahli panel bukan Islam daripada panel-panel ini hanya kerana mereka tidak mungkin memahami nuansa-nuansa Islam dan “tidak mempunyai sebarang tanggungjawab terhadap syiar Islam” adalah sangat tidak masuk akal kerana ia seolah-olah mengura-urakan bahawa Bahasa Melayu itu adalah Bahasa Islam dan hanya orang Islam sahajalah yang mampu bertutur dan menulis dalam Bahasa Melayu. Adakah yang ingin disampaikan adalah orang Islam sahajalah yang mampu menghargai dan menguasai Bahasa Melayu?

Kedua, terdapat insinuasi bahawa kerana wujudnya ahli panel bukan Islam itu, maka “dalam sayembara penulisan dan penghargaan, karya-karya yang tersirat di samping yang tersurat dengan unsur-unsur keislaman, keimanan dan ketakwaan rasanya tidak pernah menang sayembara atau diberikan penghargaan.”

Boleh dilihat di sini terdapat suatu falasi bahawa panel penganugerahan sastera itu seolah-olah dibonekakan oleh mereka yang bukan Islam dan mempunyai kuasa mutlak menentukan siapa yang menang dan siapa yang kalah. Walhal sebuah panel penganugerahan diwujudkan kerana bolehnya ada pelbagai suara dan pandangan yang dapat diutarakan supaya bukan seseorang sahaja yang menentukan siapa yang bakal mendapat anugerah. Tidak mungkin hanya kerana terdapat seseorang yang bukan Islam di dalam panel itu, ia mampu mengetengahkan sesebuah karya yang kurang mutunya dari segi roh Islam kerana terdapatnya ahli-ahli panel lain yang berfungsi untuk mengelakkan perkara seperti itu daripada berlaku.

Ketiga, dan ini berkait dengan hujah kedua di atas, kononnya jika karya yang menang di atas kelulusan panel yang mempunyai ahli bukan Islam, hanya karya yang melaghakan akan dipilih sebagai pemenang, seperti yang dikatakan oleh Ramli bahawa “karya berunsur khayalan dan pelbagai lagi unsur tahayul yang sering menang, gara-gara keputusan penilai yang dibuat, yang pastinya mengetepikan unsur-unsur Islamik, keimanan dan ketakwaan sebagai antara faktor gagasan penting untuk diberikan kemenangan atau penghargaan.”

Kita lihat buku-buku yang telah menjadi pemenang utama dalam sayembara beberapa tahun yang lepas. Husna Nazeri dengan Kudup Hijau Tropika (Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2014), Jong Chian Lai dengan Ah Fook (Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2), Sri Rahayu Mohd Yusop dengan Empunya Kalbu (Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2015), Amer Hmzah L. Kadir dengan Mengukir Larut (Sayembara Penulisan Novel Sejarah Remaja), dan sekali lagi Sri Rahayu dengan Transgenik Sifar (Novel Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim 3). Tiada buku dalam senarai ini yang boleh disifatkan sebagai mempunyai elemen-elemen tahayul yang boleh melaghakan umat Islam, sebaliknya buku-buku ini mendepankan ciri-ciri Melayu dan Islam yang banyak boleh mendatangkan faedah dan manfaat kepada pembacanya di samping olahan dan garapan ide yang begitu menarik.

Tambahan juga hujah bahawa kesan “jangka panjang hasil kesusasteraan Melayu hanya menjadi khazanah sastera yang melaghakan” amatlah menghairankan kerana menurut Kamus Dewan, istilah “fiksyen” itu sendiri bermaksud:

  1. karya sastera yang dicipta daripada imaginasi seperti novel dan cerita pendek, cereka;
  2. cerita yang diada-adakan; memfiksyenkan menjadikan fiksyen, menjadikan hasil imaginasi.

Kata kunci di sini ialah “imaginasi”. Imaginasi dan lagha adalah dua konsep yang rapat dan berhubung kait. Apabila seseorang penulis duduk di meja tulis dan dia berkhayal dan berimaginasi untuk mencipta atas kertas watak-watak dan latar yang sebelum ini hanya wujud di dalam kepalanya, bukankah ini merupakan aktiviti yang sangat melekakan baginya? Bukankah lebih bermanfaat baginya untuk membaca al-Quran atau mengkaji sunnah-sunnah Rasullullah SAW?

Tetapi tanpa aktiviti berkhayal ini, penulis tidak akan berjaya menghasilkan sebuah karya fiksyen. Sebuah karya fiksyen bermula daripada berkhayal dan berimaginasi, walaupun seseorang penulis itu mungkin berniat berdakwah melalui penulisan sesebuah novel yang menjadi “jambatan yang meningkatkan keimanan, menguatkan akidah dan mengilmukan pembaca,” bak kata Ramli sendiri.

Apa yang saya cuba terangkan di sini ialah tidak semestinya aktiviti yang dianggap melaghakan itu sentiasa membuang masa dan tidak semestinya sesebuah karya yang dianggap melaghakan itu adalah tidak berfaedah langsung. Ia terpulang kepada individu yang membacanya untuk mengekstrak sesuatu yang berguna atau tidak daripada sesebuah buku. Bak pepatah Inggeris, “one man’s trash is another man’s treasure.” Jika anda berasa sesuatu buku itu tidak berguna buat anda, tidak semestinya buku itu tidak akan memanfaatkan seseorang yang lain kerana orang itu mungkin sahaja lebih bijak menarik keluar maklumat atau manfaat yang berguna baginya sewaktu membacanya. Sikap empati seperti ini sangat jarang ditemui dalam ruang penghayatan sastera kita dan seringkali kita hanya mendengar pandangan-pandangan yang hanya datang daripada suatu sudut sahaja dan malang diperkatakan seringkali sudut itu menunggangkan agama.

Lebih mengejutkan lagi ialah adanya subteks yang sinis membayangkan semua karya yang tidak membawa unsur-unsur Islam atau ditulis oleh orang bukan Islam semuanya melekakan dan tidak ada suatu buku pun yang ditulis oleh mereka yang bermanfaat untuk dihadam. Kenyataan yang tidak berasas ini semacam berdasarkan kepada citarasa mereka yang memang tidak menggemari buku-buku yang telah menjuarai sayembara sebelum ini dan sebenarnya bukanlah tentang unsur-unsur yang mengetepikan Islam. Jika hal sedemikian benar, hal subjektif sebegini tidak dapat dibincangkan dengan objektif dan lunas.

Pastinya ada yang membaca ini akan menyanggah pendapat saya dengan mengatakan saya mendokong pendirian yang anti-Islam (dan mungkin juga anti-Melayu) kononnya. Tetapi perlu diingatkan bahawa saya sangat setuju bahawa karya-karya seorang muslim perlulah berlandaskan ciri-ciri Islam. Ini suatu perkara yang tidak dapat disangkal sama sekali. Bagi seorang pengkarya Islam, Islam haruslah dijadikan tiang di mana elemen-elemen Islam didirikan dalam hasil tulisannya. Tetapi jangan pula penegakan Islam ini dijadikan alasan kita menolak orang-orang luar daripada berkarya dalam Bahasa Melayu atau ianya dijadikan sebab di mana orang bukan Islam tidak layak menilai karya-karya Bahasa Melayu.

Baru-baru ini terdapat pelbagai tengkarah di medan atas talian mengenai beberapa individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan Islam untuk kepentingan diri. Kita maklum tentang kes-kes jejap seperti valet doa, lasagna makanan kegemaran nabi, servis bacaan al-Quran di atas jet, tudung-tudung yang berjenama mahal tetapi tidak menutupi aurat, dan bermacam-macam lagi seumpamanya yang menggunakan nama Islam untuk kepentingan diri ditularkan di dalam media sosial. Janganlah kita pula terjebak dalam jerat yang sama. Kita perlu mengawasi diri daripada menjadi penunggang agama yang menggunakan Islam sebagai alasan menolak seseorang individu daripada menjalankan tugasannya sebagai ahli panel sesuatu sayembara sedangkan alasan sebenarnya ialah kita tidak setuju dan tidak puas hati dengan keputusan sayembara itu.

Akhir sekali, saya harus tekankan bahawa sesuatu yang membolehkan gerakan yang menolak “orang luar” daripada menilai karya-karya “orang dalam” seumpama ini sangatlah merbahaya dan jika pendapat sebegini dibiar menular, ia boleh sahaja menjejaskan martabat Bahasa Melayu dan statusnya sebagai bahasa kebangsaan. Pendapat bahawa hanya orang Islam sahaja yang boleh menilai karya Bahasa Melayu mencerminkan sejenis pemikiran yang cetek, seolah-olah pemikirnya tidak berdaya melihat luar daripada lingkungan tembok tinggi yang didirikan mengelilingi dirinya sendiri.

Kita semua sedia maklum bahawa negara Malaysia sebuah negara yang berbilang kaum dan tidak perlu diingatkan bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu adalah bahasa yang seharusnya digunapakai oleh semua kaum di Malaysia kerana status kebangsaannya tetapi walaupun negara kita sudahpun merdeka selama enam darsawarsa lamanya, bahasa ini tidak digunakan oleh rakyat keseluruhannya, malahan ada juga pihak yang merendah-rendahkan manfaat berkomunikasi dalam Bahasa Melayu kerana sudah wujudnya bahasa-bahasa antarabangsa yang lain seperti Inggeris dan Mandarin kononnya.

Dalam muka depan Pelita Bahasa Februari 2017 contohnya, terpampang dengan besar soalan jengkel, “Maruah Bahasa Semakin Tercalar?” dan petikan daripada makalah nukilan Pauzi Mohd Isa itu berbunyi, “semacam ada cubaan untuk ‘meminggirkan’ Bahasa Melayu oleh tangan-tangan hitam apabila tidak lagi diamalkan secara sewajarnya.”

Tidak hairanlah Bahasa Melayu dipinggirkan “tangan-tangan hitam” atau tangan-tangan apa-apa warna sekalipun jikalau terdapat suara-suara lantang yang mengatakan secara dasarnya, “Bahasa Melayu hanya untuk orang Islam.”

Sangat ironis di dalam Dewan Sastera Mac 2017 yang sama terselit juga sebuah makalah karangan Laurent Metzger bertajuk “Leïla Slimani: Penulis Muslim Merangkul Hadiah Goncourt 2016” yang menonjolkan Leïla Slimani, seorang penulis muslim yang berjaya meraih Hadiah Goncourt 2016, sebuah anugerah sastera yang terkemuka di Perancis. Jika logik yang didepankan oleh Nawawee Mohammad dan Ramli Abdul Halim diterima umum, adakah Leïla Slimani layak menerima hadiah daripada ahli-ahli panel Hadiah Goncourt 2016 yang pastinya terdiri daripada golongan kafir? Sejurus daripada itu, adakah Laurent Metzger layak menulis makalah tentang Leïla Slimani? Sudahkah beliau mengucap kalimah syahadah sepertimana Leïla Slimani?

Pemikiran seperti ini, apabila dilihat daripada luar ruangan sastera, lagi-lagi daripada perspektif seseorang yang belum mengenali keindahan Bahasa Melayu, boleh sahaja membuatkan seseorang itu terasa jijik dan meluat untuk mengenalinya. Beliau akan merungkai pendapat bahawa Bahasa Melayu ini hanyalah untuk mereka yang Melayu sahaja atau Islam sahaja.

Dalam zaman di mana kita sedang mengeluh kenapa Bahasa Melayu tidak digunapakai dan tidak dimartabatkan oleh khalayak umum, bolehkah kita berterusan dalam memikir bahawa “orang bukan muslim tidak layak menilai karya Melayu Islam” lagi-lagi apabila penilaian yang dimaksudkan dibuat untuk karya-karya yang bukan dikhususkan tema Islam?

Di dalam Pelita Bahasa Mac 2017, terdapat makalah yang bertajuk, “Potensi Mengantarabangsakan Bahasa Melayu” dan di dalamnya, Noor Azam Abdul Rahman mengetengahkan soalan yang berbunyi, “Bahasa Melayu masih lagi tidak mendapat perhatian dan keistimewaan sebagai salah satu bahasa antarabangsa yang gah di persada dunia [walaupun merupakan bahasa keempat dalam turutan bahasa terbesar di dunia]. Mengapakah hal ini terjadi?”

Jawapannya mudah sahaja — kerana kita sering menolak dan mengetepikan mereka yang mahu mendekat dan mencintai Bahasa Melayu. Kita sentiasa bersifat parokial dan bersikap mementingkan diri kita sehingga kita lupa bahawa kita hanyalah sebahagian kecil daripada dunia yang dipenuhi ramai lagi warga lain dan tiada toleransi atau hormat ditunjukkan bagi pendapat, pemikiran, dan kepercayaan yang berlainan.

Untuk mengekalkan maruah dan martabat Bahasa Melayu, kita sebagai penggiat sastera, tidak kira sebagai penulis, penyajak, penyair, pendidik, atau peminat, seharusnya bersifat inklusif, bukannya ekslusif dari segi bangsa, agama, mahupun jantina. Susah untuk Bahasa Melayu berkembang dan diterimapakai oleh marhaen dan jelata jika orang Melayu sendiri sentiasa menolak ke tepi kaum lain, lebih-lebih lagi apabila menggunakan Islam sebagai alasan. Kita perlu berhenti bersikap merendah-rendahkan pendapat orang bukan Melayu dan bukan Islam, lebih-lebih lagi dalam hal Bahasa Melayu, dan insyaAllah mereka juga akan berhenti meremeh-remehkan Bahasa Melayu jua.

Saya akhiri dengan saranan yang dibuat oleh Ramli sendiri dalam makalahnya, “semoga karya dan hasil kesusasteraan pada masa sekarang dan akan datang kita akan bersih daripada unsur-unsur yang boleh merosakkan, menyesatkan dan mendatangkan dosa kepada pembaca.”

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s